Perspektif Wawasan 2020
Latarbelakang
Semasa pelancaran Majlis Perdagangan
Malaysia pada 28 Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri telah
membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia-Melangkah ke Hadapan"
yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat
Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya dikenali
sebagai "Wawasan 2020".
Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu
dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi,
sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa
yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah
diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai
pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan
jauh yang akan ditempuh oleh negara.
Matlamat terakhir yang dicita-citakan
ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang
tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang
ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi,
politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai
sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang benar-benar maju,
bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati
kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik,
bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya
ketahanan yang tinggi.
Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan
mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju
dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara
maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang
sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah
atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu
masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan
boleh dicontohi oleh negara-negara lain.
Objektif
Objektif
Objektif di atas hanya boleh dicapai jika
rakyat Malaysia dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai
halangan/rintangan yang dianggap sebagai cabaran. Di bawah ini
diperturunkan sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu:
(i) Mewujudkan negara Malaysia bersatu
yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti
menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum,
hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong
oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi
kepada negara;
(ii) Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;
(iii) Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;
(iv) Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi;
(v) Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;
(vi) Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;
(vii) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;
(viii) Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan
(ix) Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing,
dinamik, giat dan kental.
Perspektif
Cabaran-cabaran di atas sebenarnya telah
membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan
Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah:-
(i) Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.
(ii) Negara Perindustrian
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.
Masyarakat negara maju adalah masyarakat
yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang
tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi
ia mestilah boleh mencipta, menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai
taraf negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yang amat pesat amatlah
penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan sektor perdagangan
dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan,
daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi
cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah besar
kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.
(iii) Keadilan Ekonomi dan Sosial
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.
(iii) Keadilan Ekonomi dan Sosial
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.
Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.
(iv) Moral dan Etika
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.
(v) Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan
Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna .
Penutup
Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah
merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan
pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi
jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga
menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup
seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan
kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.
Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk
dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan
framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah
tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju
dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa
perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang
dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan
keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang
lebih dinamik.
No comments:
Post a Comment